U Mobile kini melalui laman rasmi menyatakan telah mula memperkenalkan akses 5G SA (Standalone) secara berperingkat, khusus untuk sejumlah pelan terpilih.

5G SA atau turut dikenali sebagai 5G Standalone. Ia menggunakan infrastruktur yang khusus dibangunkan untuknya tanpa bergantung kepada rangkaian 4G. Dengan langkah tersebut, ia menawarkan kadar pendam yang lebih rendah, kelajuan lebih tinggi dan stabil, serta sokongan untuk pembahagi rangkaian (network slicing) yang amat berguna untuk industri.
U Mobile buat masa ini menawarkan akses kepada rangkaian 5G SA secara terhad kepada pengguna pelan U Postpaid 98, U Biz 98, U Premium dan juga U Platinum. Sokongan juga terhad kepada beberapa peranti sahaja, dan bukan disokong pada semua peranti 5G sedia ada, dan tidak lagi menyokong peranti Apple. Sekiranya anda menerima rangkaian 5G SA, maka ia akan paparkan U Mobile 5G SA pada bahagian rangkaian peranti anda.