Digital Nasional Berhad (DNB), syarikat pembekal tunggal rangkaian 5G negara buat masa ini telah memulakan proses penstrukturan semula dengan mengemaskini pelan perniagaan dan pembiayaan mereka melalui pengoptimasian kos dan operasi yang agresif.
Dalam jawapan bertulis kepada Datuk Wan Saifulruddin Bin Wan Jan (Tasek Gelugor) yang bertanya tentang pulangan wang kepada kerajaan berkenaan pelaburan awal dalam syarikat tersebut, Menteri Digital Gobind Singh Deo mengatakan bahawa DNB sedang dalam proses penstrukturan semula, dan wang pelaburan awal tersebut akan dikembalikan kelak.
Buat masa ini, kerajaan memiliki 34.9 peratus pegangan ekuiti keatas DNB, termasuklah pegangan saham khas. Dalam proses penstrukturan semula ini, dana pinjaman yang diberikan oleh kerajaan akan dikembalikan semula, dan pegangan kerajaan keatas DNB juga akan diagihkan kepada pemegang-pemegang saham yang lain.
Selepas dana pinjaman ini dipulangkan, dan saham bertukar tangan, dan apabila U Mobile juga melepaskan pegangan mereka keatas DNB, barulah pembangunan rangkaian 5G kedua ini boleh dimulakan. Bilakah ia akan berlaku belum lagi diumumkan setakat ini.