U Mobile sebelum ini telah menerima pengesahan daripada SKMM untuk membangunkan infrastruktur rangkaian kedua 5G di Malaysia. Selari dengannya, kini U Mobile bekerjasama dengan pihak Huawei dalam melakukan ujian di Jambatan Pulau Pinang, menggunakan teknologi terbaru Huawei, iaitu Meta Active Antenna Unit (MetaAAU).
Melalui ujian yang dijalankan, kelajuan liputan 5G pada kelajuan mencapai 120Mbps dicatatkan, meliputi kawasan Jambatan Pulau Pinang seluas 13.5 kilometer.

Lokasi berkenaan dipilih untuk ujian memandangkan kawasan berkenaan sedia menghadapi cabaran dalam menawarkan liputan yang konsisten – disebabkan melalui lautan. Sebelum ini, liputan 4G berjaya dilaksanakan di kawasan berkenaan dengan memasang pemancar di bahagian tengah jambatan. Namun, U Mobile melalui kerjasama Huawei dan penggunaan MetaAAU ini membolehkan pemancar diposisikan di bahagian penjuru jambatan, dan melakukan liputan penuh, tanpa perlu mempunyai pemancar pada bahagian tengah jambatan.
Sistem MetaAAU juga hadir dengan sokongan kecekapan tenaga baik, memudahkan ia mengoptimasikan pancaran berasaskan kepada keadaan trafik.
Ujian U Mobile juga berjaya memperlihatkan tiada masalah panggilan suara ketika bergerak dengan kelajuan 80km/j di jambatan berkenaan.
Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bilakah U Mobile akan memulakan pembangunan infrastruktur rangkaian 5G kedua di Malaysia secara rasminya.