Telekom Malaysia sebelum ini telah hadir dengan sebuah gambar acah untuk hadir dengan sebuah pengumuman baru pada 8 Jun. Ia sekaligus membuatkan ramai yang ternanti-nantikan pengumuman langsung berkenaan daripada TM. Namun, dengan apa yang dilakukan oleh TM hari ini, ia ternyata mengecewakan ramai pengguna.
Telekom Malaysia sebelum ini telah hadir dengan gambar acah mengatakan “Pertama Di Malaysia”. Walaupun telah sedia dijangka ramai ia mungkin adalah sekadar iklan raya, namun penggunaan “Pertama Di Malaysia” membuatkan kami menjangkakan ia mungkin menggunakan kelebihan video 360-darjah, AR mahupun VR. Apatah lagi dengan posisi TM sebagai syarikat teknologi gergasi di Malaysia.
Namun, apa yang berlaku hari ini agak mengecewakan. TM sekadar memanggil fungsi memainkan video yang sedia dirakamkan secara langsung sebagai siaran langsung. Hal ini membuatkan ramai yang tidak menyukai apa yang dilakukan oleh TM, dan seumpama memberikan harapan palsu kepada pengguna. Malah Facebook sendiri sebelum ini telah mengeluarkan polisi yang meminta pengguna platform berkenaan supaya memastikan sebarang kandungan yang terlebih dahulu dirakamkan dilabelkan dengan baik, selain tidak menggunakan API untuk berkongsi video dan gambar berbentuk looping.
Kami sendiri agak kecewa dengan syarikat yang memperjuangkan tagar “#Fitnet” ini, malah TM sebagai syarikat teknologi semestinya perlu menerajui pelbagai perkara lain, termasuk dalam iklan raya. Dan bukannya menggunakan promosi picisan, sekaligus memainkan perasaan ramai peminat dan penggunanya.