Lanjutan daripada laporan awal hari ini, kini Astro telah mengeluarkan kenyataan rasmi mereka. Astro mengatakan sehingga kini mereka telah membuat dua laporan polis, serta telah maklumkan SKMM berkaitan hal ini.
Pada awal hari ini, portal Lowyat telah melaporkan yang mana terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang menjual data pengguna pelanggan Astro.
Menurut Astro, data pelanggan yang tertiris adalah data pelanggan Astro IPTV – yang mana merupakan pelanggan yang diuruskan bersama oleh Maxis. Untuk makluman, Astro IPTV ditawarkan dalam bentuk langganan bersama Maxis Broadband. Astro turut menekankan yang mana data pelanggan Astro lain tidak terkesan dan mereka mengambil berat dalam melindungi data pengguna.
Astro mengatakan mereka telah meminta pihak Maxis dalam membantu menyiasat insiden ini, termasuk penyiasatan forensik berkaitan.
Astro mengatakan mereka akan berkongsi lanjut mengenai ketirisan data ini sebaik sahaja mereka mempunyai maklumat berkaitan dengannya.