Kelajuan Internet yang pantas adalah perlu bagi memudahkan pengguna mendapatkan maklumat terkini dengan pantas serta menstrim video pada kadar yang tidak menyakitkan hati. Sejak kebelakangan ini pakej Internet jalur lebar berkelajuan pantas semakin banyak ditawarkan pada harga yang lebih rendah berbanding sebelumnya. Kelajuan WiFi di KLIA pula baru sahaja dinobatkan sebagai ketiga terpantas di dunia. Tetapi bagaimana pula dengan kelajuan purata Internet di Malaysia?
Menurut laporan bertajuk State of Internet 2015 oleh Akamai, Malaysia berada di tempat ke-73 dengan kelajuan purata 4.9 Mbps. Ini adalah di bawah purata kelajuan global iaitu 5.1 Mbps. Dari segi penggunaan 52% pengguna Malaysia menikmati kelajuan Internet pada kelajuan melebihi 4 Mbps. Sekiranya anda menikmati kelajuan melebihi 15 Mbps, tahniah kerana anda adalah golongan kecil 0.9% rakyat Malaysia yang bertuah. Korea Selatan muncul sebagai negara dengan kelajuan purata Internet terpantas dengan 20.5 Mbps. Di kalangan negara rantau ASEAN, Singapura adalah negara terpantas dengan purata kelajuan 12.5 Mbps diikuti pula oleh Thailand dengan purata kelajuan 8.2 Mbps. Malaysia masih lagi di hadapan Vietnam (3.5 Mbps), Indonesia (3.0 Mbps) dan Filipina (2.9 Mbps). Jadi kita haruslah bersyukur kerana kita bukan berada di tepat tercorot.