Malaysia sudah memulakan usaha melesenkan platfom media sosial dan pemesejan bagi mengawal kandungan yang dimuat naik. Hanya pemilik platform perlu berdaftar bukannya pengguna. Di India, kerajaan ingin semua penyiar berita digital berdaftar atas tujuan yang sama. Yang menjadikan cadangan ini unik ialah sesiapa sahaja yang mengeluarkan kandungan berita dan hal ehwal semasa perlu berdaftar.
Ini termasuklah pempengaruh, penghasil video media sosial, dan berita atas talian. Kesemua penyiar berita digital wajib mendaftar dengan kerajaan, menubuhkan jawatankuasa penilaian yang menyemak semua kandungan sebelum diterbitkan, dan melantik pengendali aduan. Kegagalan dalam pematuhan boleh menyebabkan penyiar berita digital dikenakan hukuman penjara.

RUU Peraturan Perkhidmatan Penyiaran akan meletakkan semua media atas talian di tahap yang sama dengan penyiar tradisional seperti stesen TV dan akhbar. Cadangan untuk meluluskan RUU kini ditentang oleh warganet kerana ia terlalu serkap jarang sehingga menyebabkan sesiapa sahaja yang melaporkan berita walaupun sekadar di media sosial perlu berdaftar. Kos untuk menubuhkan jawatankuasa penilaian kandungan dan aduan juga perlu ditanggung sendiri.
Akibatnya menurut penentang RUU, ia adalah usaha kerajaan PM Narendra Modi untuk menyekat kebebasan bersuara rakyat India. Dalam PRU yang lalu, parti BJP yang dipimpin oleh Modi gagal mendapatkan kemenangan besar seperti yang dijangka. Antara faktor yang diberikan ialah penghasil berita atas talian yang menyangkal pelbagai dakwaan kerajaan dan membetulkannya sekira ia tidak berasas.

Keganasan ke atas golongan minoriti dan miskin juga didedahkan oleh media atas talian yang tidak terikat dengan RUU sebelum ini yang memberikan kuasa untuk kerajaan menutup operasi mereka kerana “menyampaikan berita yang tidak disahkan”. Pada tahun 2019 misalnya, perkhidmatan internet dihalang selama 552 di Kashmir atas “sebab keselamatan”. Video yang berjaya diseludup keluar menunjukkan progrom dilakukan oleh pihak keselamatan India ke atas penduduk beragama Islam.
Satu perkembangan yang merisaukan sejak kebelakangan ini ialah tindakan beberapa negara yang mengetatkan kawalan aktiviti atas talian. Amerika ingin mengharamkan TikTok, UK mahu mengawal media sosial dan Malaysia pula menghalang DNS daripada memintas laman yang diharamkan.