Apple, Huawei, Honor dan Oppo adalah tiga syarikat yang telah menawarkan komunikasi satelit pada peranti keluaran mereka bagi tujuan perhubungan dalam situasi tiada rangkaian selular. Kini muncul pula ura-ura Google akan mula menawarkan sistem komunikasi yang sama pada Google Pixel, Pixel Fold dan Pixel Tablet baharu mereka tahun ini menurut laporan Android Authority.

Komunikasi satelit dipercayai adalah terhad kepada penghantaran teks sahaja. Kerana direka untuk komunikasi kecemasan, terdapat beberapa pilihan tersedia akan diberikan seperti berkongsi lokasi, apakah jenis kecemasan dan berapa ramai orang memerlukan bantuan. Terdapat juga animasi yang tertiris menunjukkan bagaimana telefon perlu diarahkan ke langit untuk menghubungi satelit paling hampir.
Google dipercayai akan menggunakan modem keluaran Samsung untuk menyokong ciri ini. Pilihan yang menarik kerana Samsung sendiri belum menawarkan peranti dengan sistem komunikasi satelit. Ini mungkin juga petanda paling awal Samsung juga sudah besedia untuk memberikan ciri sama pada peranti mereka.
Kami telah melaporkan sebelum ini Messages sudah mula menguji penghantaran mesej kecemasan menggunakan satelit. Seperti Apple, ciri ini mungkin percuma pada peringkat awal sebelum akan dikenakan langganan bulanan.
Baca lanjut di Amanz .