Lanjutan daripada laporan penganalisa sebelum ini, kini sebuah gambar tertiris hadir ke arena internet memperlihatkan seumpaam Streamyx dalam proses penjenamaan kepada sebuah nama baru dibawah Unifi.
Untuk makluman, Telekom Malaysia dibawah strategi baru menjenamakan pelbagai produk kepada pengguna umum mereka dibawah Unifi. Sebelum ini, mereka telah pun memulakan proses berkenaan dengan mengubah nama rangkaian Webe kepada Unifi – serta memudahkan proses pengguna melanggan Webe dengan menyertakan ia bersama pakej Unifi.
Kini, langkah seterusnya adalah menjenamakan semula perkhidmatan jalur-lebar tetap Streamyx dibawah Unifi. Nama akhirnya masih tidak diketahui, sama ada adakah Unifi Broadband, atau sebagainya.
Beberapa desas-desus juga kami dengar sebelum ini dimana sekiranya sesuatu kawasan telah sedia menyokong Unifi, pihak Telekom Malaysia tidak menawarkan pakej Streamyx dikawasan berkenaan. Malah, memandangkan harga Unifi melalui pakej Unifi Lite yang lebih murah daripada Streamyx – maka ia mungkin lebih memudahkan proses menamatkan penawaran Streamyx sedia ada lebih mudah.
Pihak Telekom Malaysia tidak mengeluarkan sebarang komen rasmi berkaitan penjenamaan semula ini buat masa ini.