Telekom Malaysia sedia terkenal dengan penawaran HyppTV yang membolehkan para pelanggan UniFi dan beberapa pakej terpilih Streamyx untuk menikmati kandungan berbentuk rancangan televisyen, sukan, mahupun filem dengan mudah. Terkini, menyedari gaya pengguna yang beralih kepada kandungan berbentuk untuk ditonton bila-bila masa, TM mengumumkan kerjasama dengan pihak iFlix.
Dengan kerjasama iFlix, pengguna akan mempunyai akses kepada pelbagai kandungan siri-TV dan filem terkini dengan mudah untuk ditonton pada peranti mudah-alih atau pada komputer atau di kaca televisyen (melalui Chromecast).
Menurut Telekom Malaysia, para pelanggan Unifi boleh mengakses kandungan di iFlix secara percuma selama setahun – yang mana bernilai RM96. Telekom Malaysia dan iFlix akan memperkenalkan promosi ini bermula daripada pertengahan Disember 2015, dimana pelanggan hanya perlu mengakses laman iFlix atau memuat-turun aplikasi iFlix untuk mengaktifkan langganan mereka.
TM turut mengatakan sistem iFlix secara automatik akan mengenal-pasti jika anda mengakses ia menggunakan rangkaian Unifi anda, dan mengaktifkan langganan. Sebaik sahaja selepas diaktifkan, pengguna boleh menggunakan langganan iFlix berkenaan pada sebarang peranti dengan mudah.
Buat masa permulaan, ia hanya akan ditawarkan untuk pengguna Unifi sahaja, dan Telekom Malaysia akan memperluaskan penawaran sama kepada pelanggan Streamyx 4Mbps dan 8Mbps tidak lama lagi.
Ini bukanlah kerjasama pertama iFlix bersama-sama syarikat telekomunikasi, dimana sebelum ini mereka turut telah mengumumkan kerjasama dengan pihak Digi. Mungkinkah kita akan melihat lebih banyak kerjasama menarik daripada pihak iFlix tidak lama lagi?