SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) telah pun mendenda syarikat telekomunikasi beberapa kali sebelum ini kerana masalah panggilan yang sering terputus dan beberapa perkara lain. Kini, sekali lagi pada tahun ini SKMM mengeluarkan sebanya 23 kompaun terhadap syarikat telekomunikasi yang berjumlah sehingga RM1.01 juta.
Antara masalah utama yang diberikan perhatian oleh SKMM adalah masalah berkaitan panggilan terputus, dan juga masalah pendaftaran pengguna prabayar dimana maklumat peribadi pengguna lain digunakan untuk mendaftar akaun pengguna lain.
Untuk masalah panggilan terputus, Digi dikenakan kompaun paling tinggi iaitu RM180,000, diikuti Maxis sebanyak RM170,000 dan juga Celcom sebanyak RM130,000.
Untuk kesalahan berkaitan pendaftaran pengguna prabayar pula, Celcom dikenakan kompaun paling tinggi sebanyak RM200,000, diikuti Maxis sebanyak RM150,000, U Mobile sebanyak RM100,000, Tune Talk sebanyak RM70,000 dan juga XOX sebanyak RM10,000.
Masalah berkaitan telekomunikasi bukanlah sesuatu yang baru dan sering dikritik ramai pengguna tempatan. Pada tahun lepas sahaja, SKMM telah mengeluarkan sebanyak 70 kompaun berjumlah RM2.84 juta ke atas syarikat telekomunikasi di Malaysia.