Maxis hari ini secara rasminya telah melancarkan telefon pintar terbaru daripada Apple, iaitu iPhone 6 dan juga iPhone 6 Plus. Maxis membuat sedikit kejutan dan berbeza dengan beberapa syarikat telekomunikasi lain, dimana mereka membuat penghantaran terus kepada pelanggan pada tengah malam hari ini dibawah program yang dinamakan Maxis’ Midnight Express.
Untuk pelanggan pertama, CEO Maxis sendiri menghantarnya, sementara pihak lebih 200 pelanggan yang dipilih secara rawak akan turut menerimanya pada tengah malam ini. Penerima pertamanya adalah Rastam Hadi Samsudin. Beliau menerima telefon pintar pertama daripada Maxis di Sunway Pyramid sebentar tadi.
Di Malaysia, iPhone 6 dijual pada harga bermula RM2399, sementara iPhone 6 Plus pula dijual pada harga bermula RM2749. Seperti biasa, pengguna boleh mendapatkan ia pada harga lebih rendah dibawah pakej daripada Maxis, dan beberapa syarikat telekomunikasi lain.
Maxis menawarkan iPhone 6 pada harga serendah RM659 dengan pilihan kontrak selama 24 bulan, sementara iPhone 6 Plus pada harga serendah RM999. iPhone 6 membawakan skrin bersaiz 4.7-inci, dan iPhone 6 Plus dengan skrin bersaiz 5.5-inci. Kedua-duanya membawakan kemaskini dari segi rekaan, dan turut dilengkapi iOS 8 terbaru daripada Apple.