Beberapa minggu lepas, kita telah mendengar akan berita mengenai kabel AAG yang menghadapi sedikit kerosakkan, sekaligus memberikan kesan kepada akses internet ke laman-laman yang dihoskan di Amerika Syarikat, Asia Utara dan Eropah.
Memberikan kemaskini mengenainya hari ini, pihak Telekom Malaysia mengatakan kerja baik-pulih sistem rangkaian kabel dasar laut AAG telah selesai, dan kini pengguna boleh mengakses ke web-web yang dihoskan di tempat tersebut tanpa sebarang masalah.
Kabel AAG kerana terletak di dasar laut, sering menghadapi masalah disebabkan beberapa perkara, dan ia mengambil sedikit masa untuk dibaiki – memandangkan ia terletak di dasar laut. Kabel AAG atau nama penuhnya Asia-America Gateway ini menghubungkan pelbagai negara di Asia ke pelayan web di Amerika Syarikat, Asia Utara dan Eropah.
Pihak Telekom Malaysia sebelum ini telah mengambil langkah untuk mengalihkan sebahagian trafik pelayaran ke laluan lain – sekaligus membuatkan akses internet sedikit lambat berbanding kebiasaan, dan kini dengan kerja pembaik-pulihan yang telah selesai dijalankan, pengguna boleh menikmati akses internet tanpa masalah seperti dulu.