Setiap teknologi yang dibangunkan untuk kebaikan kemudiannya akan mempunyai sisi gelap. Internet yang dibangunkan untuk perkongsian ilmu kini menjadi medium kegemaran petani kemarahan. Torrent yang memudahkan perkongsian data bersaiz besar menjadi medium cetak rompak. Kini tiba giliran Starlink yang menawarkan internet di mana sahaja anda berada digunakan pula untuk penyeludupan dadah.

Tentera Laut Colombia berjaya memintas sebuah dron kapal selam yang dikawal secara jarak jauh menggunakan Starlink User Terminal. Apabila dipintas, dron berkapasiti 1.5 ton kargo ditemukan kosong menunjukkan ia mungkin masih sedang diuji oleh kartel dadah Amerika Selatan. Kartel menggunakan kapal selam untuk menyeludup dadah dari Colombia ke Amerika Syarikat sejak zaman kegemilangan Pablo Escobar.
Ini bukan kali pertama dron kapal selam yang menggunakan teknologi Starlink dipintas pihak berkuasa. Insiden pertama dikesan November 2024 di perairan Kepulauan Andaman dan Nicobar dengan kargo amfetamin bernilai $4.25 bilion (~RM 18 bilion). Tanpa krew, dron boleh dikawal dari jarak jauh dengan selamat. Jika dipintas sekalipun tidak ada krew yang boleh disoal siasat untuk membocorkan rahsia operasi.