Lanjutan daripada laporan yang hadir pada hari ini berkenaan SKMM yang meminta syarikat telekomunikasi berkongsi rekod panggilan telefon dan internet pengguna, kini SKMM sendiri telah menerbitkan maklumbalas rasmi berkaitan dengannya.
SKMM mengatakan data yang dikumpulkan adalah untuk tujuan statistik dan membantu dalam membangunkan polisi berasaskan kepada data. Semua data dikumpulkan secara awanama dan tiada data yang boleh mengenal-pasti seseorang pengguna diakses, diproses mahupun di kongsikan kepada SKMM oleh syarikat telekomunikasi.
SKMM mengatakan data yang dikumpulkan boleh membantu dalam mengetahui kadar taburan pelanggan mudah-alih dan kepadatan pengguna disesuatu mukim, kawasan, DUN dan sebagainya. Data berkenaan juga dikatakan membantu dalam mengenal-pasti kawasan tumpuan pelancong atau pengguna.
SKMM menekankan data yang dikongsikan oleh syarikat telekomunikasi tidak boleh digunakan untuk mengenal-pasti pengguna, memandangkan semuanya adalah secara awanama.
SKMM menambah mengatakan inisiatif ini adalah selari dengan apa yang dilakukan pelbagai pihak pada peringkat antarabangsa, dimana data telekomunikasi digunakan dalam terus menambah-baik kepentingan negara, dan pada masa yang sama mengekalkan keselamatan dan privasi pengguna.