Pada tahun lepas, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil telah mengumumkan bahawa Malaysia akan memulakan projek rintis telekomunikasi pada pertengahan tahun ini yang membabitkan penggunaan satelit LEO (orbit bumi rendah) menjelang pertengahan tahun ini.
Terkini, ia dilaporkan bahawa syarikat telekomunikasi tempatan Altel Group Sdn Bhd akan bekerjasama dengan syarikat satelit dari China, Zhejiang Geespace Technology untuk melancarkan rangkaian satelit internet LEO untuk kegunaan tempatan dan juga negara-negara Asia Tenggara.

Gabungan kedua-dua syarikat ini akan dinamakan ALTEL Digital, dan dilaporkan akan terletak di Malaysia, termasuklah pusat kawalan operasi dan pusat data untuk memastikan bahawa ia menepati piawaian keselamatan operasi tempatan.
Selain daripada operasi perkhidmatan internet satelit ini, ALTEL Digital juga dijangka akan memperkenalkan program TVET di institusi pengajian tinggi untuk melahirkan lebih ramai jurutera internet dan satelit, yakni memastikan negara mempunyai bekalan tenaga kerja mencukupi untuk membangunkan industri ini.
Datuk Fahmi Fadzil juga mengatakan ALTEL Digital akan memperkenalkan empat cabang perkhidmatan, termasuklah peranti berhubung berasaskan sambungan satelit, penjejakan kedudukan dengan ketepatan tinggi, teras rangkaian internet berkelajuan tinggi, dan perkhidmatan internet terus-ke-selular.
Ia dijangka bahawa ALTEL Digital akan memulakan operasi mereka seawal suku keempat 2025.