Seperti yang sedia maklum, U Mobile telah menerima kontrak daripada Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia untuk membangunkan rangkaian 5G kedua Malaysia.
Ramai yang tertanya tentang bilakah U Mobile akan membangunkan rangkaian tersebut, dan hari ini, Menteri Komunkasi Fahmi Fadzil telah menjawab pertanyaan Chong Zhemin (Pakatan Harapan-Kampar) tentang perkara ini di Parlimen, dan mengatakan bahawa proses pembangunan rangkaian tersebut tidak boleh dimulakan sehingga tanggungjawab tertentu dilunaskan oleh U Mobile terhadap DNB.
Beliau tidak menyatakan apakah tanggungjawab yang perlu dilunaskan ini, tetapi mengatakan bahawa ia akan memakan masa sekitar lima bulan sebelum ia berlaku, dan U Mobile boleh memulakan proses pembangunan rangkaian tersebut di seluruh Malaysia.
Sebahagian daripada tanggungjawab yang dikatakan mungkin berkaitan dengan pembayaran pinjaman yang diberi melalui Kementerian Kewangan untuk memulakan Digital Nasional Berhad dan juga membangunkan rangkaian 5G pertama Malaysia yang bernilai RM16.5 bilion. U Mobile akan perlu membayar bahagian pinjaman mereka sebelum proses pembangunan rangkaian kedua boleh bermula.
Menteri Digital Gobind Singh Deo mengatakan bahawa kerajaan tidak akan menanggung sebarang kerugian daripada pembangunan kedua-dua rangkaian 5G ini.
Dalam pada itu, Fahmi Fadzil juga mengatakan bahawa proses kerja asas boleh dilakukan oleh U Mobile terlebih dahulu, berdasarkan kertas kerja dan pelan bisnes yang dibentangkan kepada pihak SKMM.