Kebelakangan ini, kami telah melaporkan mengenai dua insiden dimana kabel dasar laut di rantau Eropah telah mengalami kerosakan akibat kapal-kapal laut dari China dan Rusia yang disyaki telah mensabotaj sambungan-sambungan ini.
Terkini, ia dilaporkan bahawa pihak NATO (North Atlantic Treaty Organization) sedang dalam proses membangunkan sebuah sistem satelit yang boleh membantu menjejak kerosakan-kerosakan kabel ini dengan cepat, disamping membantu negara-negara dalam rantau ini untuk mengurangkan kesan akibat kabel dasar laut yang rosak.
Sistem satelit ini dinamakan Project HEIST, ataupun Hybrid Space-Submarine Architecture Ensuring Infosec of Telecommunications. Dengan sistem satelit ini, selain daripada menjejak kerosakan, ia boleh membantu dalam mencari laluan untuk data dialirkan untuk mengurangkan masalah lag dan sambungan internet tidak dapat mencapai destinasi yang sepatutnya.
Insiden kerosakan kabel di dasar laut diantara Sweden, Finland dan Estonia menunjukkan betapa rapuhnya sambungan internet berkelajuan tinggi jarak jauh yang digunakan sekarang. Walaupun kabel dasar laut ini dilindungi daripada unsur-unsur alam, oleh kerana kabel dasar laut ini hanya terletak di permukaan dasar laut dan tidak ditanam, ia sangat terdedah kepada insiden kerosakan yang disengajakan seperti sabotaj, atau tidak disengajakan, seperti insiden digigit hidupan lautan dan sebagainya.
Secara global, ia dilaporkan bahawa sebanyak sekurang-kurangnya 100 insiden kabel terputus ataupun dipotong. Jumlah kabel dasar laut yang menyambungkan 8.2 bilion manusia ke dunia internet ialah sebanyak 600 kabel, jadi secara lazimnya, 16 peratus daripada kabel-kabel ini akan menghadapi masalah setiap tahun.
Isu ini dikurangkan dengan kapal-kapal laut yang juga sentiasa bersedia untuk memperbaiki sebarang kerosakan yang berlaku, tetapi bergantung kepada kerosakan yang berlaku, ia boleh mengambil masa berhari sehingga berminggu untuk memperbaikinya dan menelan belanja beratus ribu sehinggalah berjuta dolar.
NATO kini dilaporkan dalam proses menaiktarafkan sambungan satelit dari menggunakan radio berfrekuensi tinggi ke sambungan laser yang boleh meningkatkan kelajuan sambungan dari angkasa lepas ke bumi ke kelajuan 200Gbps.