Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini memaklumkan, pemilihan U Mobile dibuat berdasarkan beberapa faktor seperti rancangan perniagaan dan teknikal yang dikemukakan, rekod kadar aduan pelanggan, serta prestasi dalam melaksanakan inisiatif infrastruktur lain. SKMM turut menekankan ini turut mengambil kira projek Penyediaan Perkhidmatan Sejagat seperti JENDELA Fasa 1, dan Projek Penaiktarafan 4G.
Selain itu, SKMM turut mengatakan mengambil kira aspek peningkatan persaingan untuk pengalaman pengguna yang lebih baik. Ia turut ditekankan yang mana Rangkaian 5G Kedua Malaysia akan menggunakan dana swasta sepenuhnya, selain mana DNB akan terus beroperasi seperti biasa.
Untuk makluman, melalui laman MYJendela, ia sedia memaparkan dokumen laporan untuk Jendela Fasa 1, yang memperlihatkan U Mobile mencapai kadar naik-taraf stesen tapak kepada 100%, sementara Maxis, Celcom dan Digi, masing-masing 99.60%, 99.93% dan 99.86%. Namun melalui makluman lanjut pada dokumen yang dikongsikan, ia dinyatakan kelewatan dihadapi disebabkan kebenaran pihak berkuasa tempatan, selain lokasi pendalaman. Ia turut memperlihatkan Maxis mempunyai angka stesen tapak yang lebih tinggi berbanding lain – sebelum Celcom dan Digi digabungkan.


Disamping itu, ia turut diperlihatkan prestasi menara 4G untuk Maxis mencapai 100%, sementara U Mobile hanya 99.67%. Sekali lagi ia ditekankan yang mana kelewatan adalah disebabkan oleh kebenaran pihak berkuasa tempatan.
SKMM turut menerangkan yang mana tanggungjawab pengawalseliaan terhadap U Mobile boleh dikuat-kuasakan mengikut pematuhan yang telah ditetapkan, dan sekiranya tidak, penalti boleh dikenakan. Disamping itu, SKMM mengatakan mereka sedia maklum berkenaan pegangan saham asing semasa pada U Mobile, dan pemegang lesen perlu memaklumkan SKMM sekiranya berlaku perubahan pegangan saham asing syarikat. U Mobile sebelum ini telah menyatakan akan mengurangkan pegangan saham asing kepada 20%.
SKMM turut mengatakan U Mobile akan disediakan dengan jalur spektrum 5G dalam membangunkan Rangkaian 5G Kedua Malaysia, dan akan dikenakan yuran berkaitan. Jumlah yang terlibat tidak dinyatakan buat masa ini.
U Mobile sebelum ini telah berkongsi mungkin bekerjasama dengan CelcomDigi dan Telekom Malaysia dalam pembangunan rangkaian 5G, disamping bekerjasama dengan Huawei untuk penawaran teknologi. Pada masa yang sama, U Mobile sebelum ini menyatakan pengguna mereka menggunakan kapasiti 5G paling tinggi buat masa ini.