Astro hari ini mengumumkan bahawa saluran sukan mereka, Astro SuperSport akan dikemaskini dengan angka-angka dan nama saluran baru bermula 17 Oktober 2024 ini. Sebanyak 7 saluran sukan berbeza akan diperlihatkan, dan walaupun kesemuanya dilihat hadir dengan nama berbeza, ia masih lagi dibawah kumpulan saluran yang sama.

Dengan kemaskini akan datang ini, tujuh saluran yang akan diperlihatkan termasuklah Astro Sports UHD, Astro Grandstand, Astro Premier League, Astro Premier League 2, Astro Football, Astro Badminton dan Astro Sports Plus.
Astro Grandstand misalnya diperkenalkan untuk menunjukkan temasya sukan besar seperti sukan Olimpik, Commonwealth, Piala Dunia Bola Sepak dan sebagainya. Astro Premier League 1 and 2 akan memaparkan siaran langsung perlawanan bola sepak English Premier League dan juga siaran-siaran televisyen lain yang berkaitan dengannya.


Astro Football dan Astro Badminton akan memfokuskan kepada kedua-dua sukan ini dengan menunjukkan siara perlawanan kelayakan dan juga pertandingan badminton yang diadakan sepanjang tahun.
Untuk Astro Sports Plus pula, saluran ini akan memperlihatkan pelbagai jenis sukan lain seperti NBA, UFC, WWE dan sebagainya. Astro mengesahkan bahawa tidak ada perubahan yang akan berlaku dari segi penyampaian saluran-saluran ini.
Saluran sukan lain sedia ada seperti Astro Arena, BeIN Sports, SPOTV dan sebagainya masih lagi akan ditawarkan sebagai pelan tambahan kepada pelan saluran sukan Astro.
Untuk mengetahui butiran lebih lanjut mengenai kemaskini kepada saluran sukan Astro, anda boleh melayari laman web Astro Sports 2024 di pautan ini.