31 Ogos 1957 merupakan tarikh keramat dimana Malaysia mengumumkan kemerdekaan daripada penjajahan kerajaan British, dan setiap tahun kita memperlihatkan acara perarakan Hari Kebangsaan pada tarikh tersebut, samada secara langsung ataupun melalui kaca televisyen.
Untuk perarakan Hari Kebangsaan pada tahun ini, RTM, syarikat penyiaran televisyen tempatan telah melakarkan sejarah dengan menyiarkan acara tersebut ke rangkaian mereka melalui rangkaian 5G kebangsaan yang dikelolai oleh Digital Nasional Berhad.
Apa yang lebih mengagumkan ialah siaran ini dilakukan secara langsung dari Putrajaya, dan dengan bantuan DNB dan juga Ericsson yang menyediakan infrastruktur untuk RTM melakukan siaran ini telah berjaya menunjukkan bahawa infrastruktur rangkaian 5G negara berada pada tahap yang cukup baik untuk melakukan siaran seperti ini.

Dengan rangkaian 5G, ia dilihat bahawa kru kamera tidak lagi terikat dengan kabel data yang akan disambungkan ke komputer untuk sambungan penghantaran data. Jurukamera boleh mengambil video secara lebih dinamik, dan liputan rangkaian 5G yang meluas bermakna mereka tidak perlu risau tentang suapan data video yang dihantar terputus-putus. Kelengkapan rakaman juga tidak perlu terhad kepada kamera video biasa sahaja, dan mereka boleh memanfaatkan dron, peranti pintar dan sebagainya.
Data video yang terkandung didalam kamera juga boleh terus dihantar ke studio mudah-alih berdekatan ataupun terus ke Angkasapuri untuk tujuan suntingan dan siaran secara langsung. Suapan video dari pelbagai kamera (multi-cam footage) juga boleh dilakukan, dan penyunting ataupun pengarah dari studio boleh memilih kamera mana yang mahu disiarkan secepat yang mungkin.
Dengan rangkaian 5G juga, RTM mampu menyiarkan kandungan video pada resolusi yang tinggi (Full HD ataupun 4K) dan juga butiran-butiran video yang lebih jitu. Bukan itu sahaja, kru televisyen juga boleh memulakan siaran dengan mudah dan cepat, kerana tidak perlu risau tentang memasang kelengkapan tradisional yang diperlukan untuk tujuan siaran langsung.
Acara ini merupakan bukti konsep bahawa kerjasama diantara RTM, DNB dan juga Ericsson boleh membawa satu kesegaran baru kepada sektor penyiaran, khususnya untuk siaran langsung acara-acara besar seperti temasya sukan ataupun pusingan akhir piala bola sepak dan sebagainya, dimana jurukamera boleh merakam di sudut-sudut yang lebih sukar sebelum ini.