Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu meluluskan perjanjian jenayah siber pertamanya hujung minggu lalu dalam undian sebulat suara hampir 200 negara menyokongnya. Ia hanya diluluskan tiga tahun selepas ia dikemukakan oleh Rusia.
Pelulusan perjanjian itu penting dan mewujudkan kerjasama antara negara ahli untuk menentang jenayah siber di peringkat global. Menerusinya PBB akan meminta negara ahli mengharamkan penyalahgunaan peranti dan peralatan perkomputeran untuk melakukan jenayah.

Antara yang ingin ditekankan olah memastikan semua negara mengaramkan penghasilan penjualan kandungan seksual melibatkan kanak-kanak di atas talian, melindungi mereka daripada amang seksual dan merancang untuk mendera kanak-kanak.
Pihak berkuasa di setiap negara juga diberikan kuasa untuk mengumpul dan merekod data untuk pendakwaan dan memaksa syarikat telekomunikasi untuk menyerahkan maklumat serta dokumen mengenai jenayah yang dilakukan oleh pelanggan.
Perjanjian ini akan seterusnya pergi ke Perhimpunan Agung untuk undian pada bulan September. Ia dijangka akan diluluskan tanpa sebarang isu kerana telahpun dipersetujui oleh semua ahli PBB. Sungguhpun begitu ia menerima tentangan daripada gerakan hak asasi manusia dan syarikat teknologi yang risau ia akan digunakan oleh negara-negara tertentu untuk melakukan pelanggaran hak asasi serta membisukan sebarang bentuk penentangan di atas talian.