Beberapa hari yang lalu, kami ada melaporkan bahawa Menteri Komunikasi Malaysia, Fahmi Fadzil mengatakan bahawa kerajaan, melalui Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) akan bersedia untuk memulakan proses tender dan pembangunan rangkaian 5G kedua tidak lama lagi.
Hari ini, selepas CelcomDigi dan Maxis mengesahkan pemilikan 14 peratus pegangan ekuiti keatas Digital Nasional Berhad, beliau telah mengumumkan bahawa dalam masa beberapa hari ini, pihak SKMM akan mula membangunkan dokumen untuk memulakan proses pembukaan tender yang akan bermula pada 1 Julai ini.
Proses pemilihan tender ini akan terdiri daripada syarikat-syarikat telekomunikasi yang sudahpun melengkapkan proses SSA untuk pemilikan ekuiti 70 peratus syarikat DNB, yang terdiri daripada CelcomDigi, U Mobile, Maxis, Telekom Malaysia dan YTL Communications.
Melalui proses tender ini, yang dijangka akan mengambil masa beberapa bulan, ia akan diketahui syarikat-syarikat telekomunikasi manakah yang akan mengambil bahagian dalam pembangunan rangkaian 5G kedua ini. Menurut Fahmi Fadzil, beliau menjangkakan bahawa pengumuman mengenai penglibatan syarikat-syarikat telekomunikasi yang terpilih akan diketahui sekitar penghujung suku ketiga ataupun awal suku keempat kelak.
Beliau juga mengatakan bahawa pembangunan rangkaian kedua ini dijangka akan membantu menamatkan sebarang unsur monopoli perkhidmatan 5G yang sering diwar-warkan, dan membantu dalam meningkatkan liputan rangkaian, disamping merendahkan harga langganan rangkaian 5G untuk perniagaan tempatan dan juga rakyat Malaysia supaya lebih ramai lagi orang dapat memanfaatkan sambungan internet yang pantas ini.
Baca lanjut di Amanz .