Pada minggu lepas kami telah melaporkan bahawa selari dengan pelan MyDigital yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerajaan akan membangunkan sebuah syarikat tujuan khas dibawah penyeliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk mengambil-alih tampuk pembangunan infrastruktur 5G Malaysia.
Hari ini, ia telah diumumkan bahawa nama syarikat tujuan khas tersebut ialah Digital Nasional Berhad (DNB) dan ia akan bertanggungjawab untuk membangunkan infrastruktur rangkaian 5G di seluruh negara, menggantikan konsortium 5G yang diperkenalkan sebelum ini yang terdiri daripada syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan.
Fokus Digital Nasional Berhad, selain daripada membangunkan infrastruktur ini ialah untuk memastikan bahawa spektrum rangkaian 5G diagihkan kepada syarikat-syarikat ini, dan ia tidak digunakan selain dari untuk tujuan membangunkan rangkaian 5G tempatan.
Mengalihkan fokus syarikat-syarikat ini daripada membina infrastruktur tempatan diharap boleh meringankan beban mereka daripada risau mengenai kualiti infrastruktur, dan membolehkan mereka untuk memfokuskan penawaran rangkaian 5G yang terbaik untuk rakyat Malaysia.
Ini juga membolehkan syarikat-syarikat ini untuk terus kekal fokus memperbaiki rangkaian 4G di seluruh Malaysia dibawah program Jendela dan memastikan tiada rakyat yang ketinggalan dalam menikmati rangkaian internet selular pantas tidak kira dimana mereka berada.
Dalam pada itu, penawaran perkhidmatan rangkaian 5G oleh DNB kepada syarikat-syarikat telekomunikasi ini juga akan diselia oleh pihak SKMM untuk memastikan ketelusan dari segi penjualan dan pembelian diantara kedua-dua pihak.