Quantcast
Channel: Telekomunikasi – Amanz
Viewing all articles
Browse latest Browse all 1889

Kerajaan Memperkenalkan Syarikat Tujuan Khas Untuk Memfokuskan Pembangunan Infrastruktur 5G Negara

$
0
0

Pada minggu lepas, Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melancarkan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia yang mana ia hadir dengan pelbagai pelan tindakan termasuklah menjanjikan telekomunikasi menjadi utiliti asas ketiga, pelaksanaan identiti digital nasional, dan pendaratan kabel dasar laut terbanyak di Asia Tenggara.

Dibawah rangka MyDigital, beliau turut mengumumkan bahawa rangkaian internet 5G bakal diperkenalkan seawal suku keempat tahun ini. Ini cukup menarik kerana dibawah pelan Jendela, pembangunan rangkaian 5G dikatakan hanya akan mula aktif semula pada tahun 2022.

Melalui penerangan oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), kerajaan bakal memperkenalkan sebuah syarikat tujuan khas, ataupun GOMSPV (Government of Malaysia Special Purpose Vehicle) dimana ia adalah sebuah badan khas dibawah Kementerian Kewangan Malaysia yang akan mengambil-alih pembangunan infrastruktur 5G kebangsaan.

Ini bermakna bahawa untuk 10 tahun yang akan datang, pembangunan infrastruktur 5G akan dikendalikan sepenuhnya oleh pihak kerajaan yang akan menggunakan proses tender untuk membangunkan infrastruktur-infrastruktur ini.

Menurut SKMM, pengambil-alihan infrastruktur 5G bermakna bahawa syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan boleh memberi lebih banyak fokus kepada memberikan perkhidmatan internet yang lebih menyeluruh, disamping mengurangkan kos perkhidmatan menjadikannya lebih mampu milik untuk pengguna.

Pengerusi SKMM, Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek juga berkata bahawa syarikat tujuan khas ini akan diselia oleh SKMM untuk memastikan sejumlah perkara:

  • Memastikan bahawa infrastruktur rangkaian 5G dibangunkan pada garis masa yang ditetapkan
  • Tiada diskriminasi berlaku apabila spektrum rangkaian 5G diagihkan kepada syarikat-syarikat telekomunikasi
  • Syarikat tujuan khas ini juga tidak akan bertukar milik untuk 10 tahun akan datang, apabila infrastruktur 5G ini dibangunkan di seluruh negara
  • Spektrum yang diambil daripada rangkaian 3G, dan spektrum 4G sedia ada tidak boleh digunapakai untuk rangkaian 5G

Menurut beliau lagi, pelan MyDigital untuk mengaktifkan rangkaian 5G pada penghujung tahun ini akan bermula di beberapa lokasi terpilih seperti ibu negeri setiap negeri di Malaysia dan juga kawasan-kawasan luar bandar.

Ini mungkin akan berlaku secara berperingkat kerana dibawah Jendela, fokus buat masa ini masih lagi untuk memastikan sambungan 4G yang stabil untuk semua rakyat Malaysia, khususnya mereka yang masih lagi menghadapi cabaran mendapatkan capaian internet yang baik untuk tujuan pembelajaran dan bekerja dari rumah.

Dalam masa tiga tahun lagi, syarikat tujuan khas ini juga akan memastikan polisi digital kebangsaan memudahkan penyebaran dan penggunaan rangkaian 5G untuk semua lapisan masyarakat dan juga industri.

Kerajaan juga akan membangunkan Natonal Digital Experience Centre (NEX) yang merupakan sebuah ruang untuk rakyat Malaysia mengalami sendiri teknologi-teknologi yang boleh dinikmati orang ramai apabila rangkaian 5G dibangunkan secara menyeluruh di sekitar Malaysia.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 1889