Syarikat-syarikat seperti Huawei dan ZTE nampaknya menerima satu lagi berita buruk berikutan keputusan kerajaan Sweden untuk mengharamkan penggunaan peralatan telekomunikasi daripada China tersebut daripada rangkaian 5G negara tersebut.
Sweden akan memulakan proses lelong spektrum 5G pada bulan hadapan, dan menurut laporan FT, badan pengelola telekomunisasi negara tersebut telah menerima laporan daripada pihak angkatan tentera dan keselamatan tentang isu penggunaan peralatan telekomunikasi China.
Ia dikatakan bahawa penggunaan peralatan tersebut akan membolehkan kerajaan China untuk mengintip segenap lapisan masyarakat negara Sweden, dan secara tidak langsung membolehkan mereka bukan sahaja memperolehi data rakyat Sweden, tetapi juga mencuri rahsia-rahsia negara.
Butiran yang diberikan oleh kerajaan Sweden ialah peralatan yang berkaitan dengan rangkaian utama, rangkaian radio, rangkaian penghantaran data, bersama-sama dengan penyelenggaraan rangkaian tersebut tidak boleh menggunakan peralatan ataupun perkhidmatan syarikat-syarikat China tersebut.
Kerajaan Sweden memberi syarikat-syarikat telekomunikasi di negara tersebut sehingga 2025 untuk menukar peralatan rangkaian 5G mereka daripada Huawei dan ZTE kepada jenama-jenama lain seperti Ericsson ataupun Nokia. Syarikat seperti Samsung juga dikatakan akan menjadi sebahagian daripada syarikat-syarikat yang akan menguasakan teknologi 5G di Sweden.