U Mobile kini telah memulakan ujian terbuka untuk rangkaian 5G di Berjaya Times Square – sekaligus membolehkan para pelanggan mereka berkunjung dan mengalami pengalaman 5G sendiri.
U Mobile mengatakan mereka telah mengaktifkan sokongan 5G pada kad SIM pengguna, sekaligus membolehkan pelanggan U Mobile yang berkunjung ke Berjaya Times Square untuk mengujinya bermula hari ini sehingga 31 Disember 2020 kelak.

U Mobile bekerjasama dengan pihak ZTE untuk tujuan ujian terbuka ini, dan menggunakan blok 100Mhz pada spektrum 3.5Ghz (C-band) untuk penawaran 5G NSA.
Buat masa ini, hanya beberapa peranti sahaja disokong, termasuk telefon Huawei seperti Huawei P40, Mate 30 Pro dan Nova 7 SE. U Mobile mengatakan lebih banyak peranti 5G akan disokong pada masa akan datang.
Bagi anda yang menggunakan rangkaian U Mobile dan berada berdekatan di Berjaya Times Square, mungkin boleh mencuba sendiri rangkaian 5G sebelum ia ditawarkan secara komersil kepada semua dalam setahun dua lagi.