Maxis hari ini telah pun mengumumkan kerjasama dengan pihak Huawei untuk rangakaian 5G, sekaligus mengatakan yang mana mereka bersedia memperkenalkan perkhidmatan 5G seawal spektrum berkaitan ditawarkan.
Sebelum ini, SKMM telah mengatakan yang mana spektrum untuk rangkaian 5G akan sedia untuk diagihkan pada separuh kedua 2020 kelak. Selepas sesuatu spektrum diagihkan, ia akan melalui beberapa proses seperti persediaan untuk infrastruktur, penawaran pelan, dan beberapa proses lain. Sekiranya semua berjalan lancar, maka mungkin kita akan melihat perkhidmatan 5G daripada Maxis diperkenalkan kepada umum seawal penghujung 2020 atau pada 2021 kelak.
Sebelum ini, Maxis juga merupakan syarikat telekomunikasi terawal di Malaysia yang memperkenalkan perkhidmatan 4G kepada pelanggan, dan kini mereka menyasarkan perkara sama untuk rangkaian 5G.
Maxis telah mempertontonkan ujian 5G dengan kelajuan mencapai 3Gbps pada awal tahun 2019 ini. Dengan rangkaian 5G, selain penawaran kadar kelajuan yang pantas, ia juga menjanjikan masa lengah yang lebih rendah – sekaligus lebih sesuai digunakan untuk pelbagai peranti-berhubung, mahupun kegunaan industri.