Dikala sambungan internet di seantaro dunia semakin pantas, salah satu isu yang masih membelenggu pengguna yang berkongsi sambungan internet ialah apabila ramai pengguna didalam rangkaian yang sama menstrim video berkualiti tinggi pada masa yang sama, tidak kira peranti apa yang digunakan.
Sekumpulan penyelidik dari MIT yang bernama Computer Science and Artificial Intelligence Laboratory (CSAIL) telah hadir dengan sebuah sistem yang dinamakan Minerva yang mampu menganalisa penstriman video, dan mengagihkan kelajuan jalur lebar yang diperlukan supaya pengguna-pengguna tersebut boleh mendapatkan kelajuan yang cukup untuk mendapatkan strim lancar dan berkualiti.
Menggunakan protokol WiFi biasa, jika beberapa pengguna bersambung ke rangkaian WiFi yang sama, mereka biasanya akan diberi separuh daripada jumlah jalur lebar yang boleh didapati. Bergantung kepada jenis penstriman video, samada strim siaran langsung ataupun penstriman video biasa, kelajuan internet yang diperlukan untuk menstrim perkhidmatan-perkhidmatan ini adalah berbeza.
Minerva mampu menganalisa jenis-jenis penstriman yang memasuki sesebuah rangkaian, dan dari situ, akan mengagihkan bandwidth yang mencukupi untuk semua strim-strim yang sedang ditonton oleh pengguna.
Melalui ujikaji CSAIL, Minerva didapati mampu mengurangkan waktu penampan (buffer time) sebanyak 50 peratus, dan meningkatkan kualiti penstriman dari 720p ke 1080p dengan rangkaian yang sama.
Apa yang menarik lagi mengenai teknologi Minerva ini ialah ia bukan sahaja boleh digunakan didalam rangkaian tertutup, tetapi juga pada antaramuka suis rangkaian yang terletak di pusat data. Minerva boleh membantu perkhidmatan-perkhidmatan penstriman seperti Netflix, iFlix dan sebagainya untuk memberi perkhidmatan yang lebih cekap.