Isu diantara kerajaan Amerika Syarikat dan syarikat-syarikat telekomunikasi China nampaknya masih belum berakhir lagi.
Pucuk pentadbiran Amerika Syarikat dilaporkan telah mengeluarkan arahan bahawa agensi-agensi kerajaan tersebut tidak dibenarkan membeli kelengkapan telekomunikasi daripada Huawei ataupun ZTE kerana mengkhuatiri bahawa kelengkapan-kelengkapan tersebut akan digunakan untuk tujuan pengintipan dan menghantar maklumat sensitif kembali ke negara China.
Walaupun larangan perniagaan keatas Huawei dan ZTE telah dimansuhkan dan syarikat-syarikat Amerika Syarikat kini dibenarkan melakukan aktiviti berdagang sesama mereka, kerajaan tersebut masih menetapkan bahawa agensi-agensi kerajaan tersebut masih dilarang daripada berurusan dengan syarikat-syarikat ini.
Menurut laporan Tech Crunch, larangan ini akan berkuatkuasa bermula 13 Ogos kelak, dan akan memaksa agensi-agensi Amerika Syarikat daripada menggunakan kelengkapan oleh Huawei, ZTE dan anak-anak syarikatnya seperti HikVision dan Hytera.
Anehnya, arahan ini dikeluarkan setahun sebelum kontrak agensi-agensi ini dengan kedua-dua syarikat tersebut dikatakan akan berakhir.
Walaupun begitu, kerajaan Amerika Syarikat masih akan membenarkan agensi-agensi ini untuk bekerjasama dengan syarikat-syarikat ini selagi mereka dapat membuktikan bahawa peralatan yang digunakan tidak akan menggugat keselamatan negara.