Hampir setiap hari pasti akan ada berita mengenai Huawei. Semalam kami melaporkan yang Huawei sedang meguji Aurora OS (fork Sailfish OS) untuk peranti mereka. Isu Huawei dan Amerika Syairkat ini belum reda, pasti akan ada sahaja berita mengenainya. Terkini, Huawei dilaporkan meminta Verizon membayar $1 Bilion pula.
Bayaran ini diminta atas isu yang berkait dengan peralatan rangkaian yang Verizon gunakan. Ia berkait dengan lebih 230 paten peralatan telekomunikasi. Paten ini merangkumi daripada lebih 20 syarikat, termasuk firma-firma teknologi yang besar di Amerika Syarikat. Antara paten yang mempunyai isu ini adalah peralatan teras rangkaian, infrastruktur talian berwayar dan juga teknologi peranti berhubung.
Menurut sumber, isu ini berkemungkinan besar lebih kepada pertempuran geopolitik sahaja dan bukannya berkait dengan lesen-lesen paten yang digunakan. Buat masa ini, apa yang dilaporkan adalah – Verizon dan Huawei sudah pun memulakan perbincangan. Manakala syarikat telekomunikasi lain seperti T-Mobile dan AT&T tidak memberi sebarang maklum balas dan Sprint pula langsung tidak ingin memberi sebarang respon.
Isu sekatan Huawei dan Amerika Syairkat ini semakin menjadi-jadi. Harapnya akan ada berita baik selepas lesen sementara Google dan Huawei tamat pada bulan Ogos ini.