Semalam kami telah melaporkan bahawa kerajaan Malaysia dikatakan ingin menguji rangkaian dan teknologi 5G di kawasan Cyberjaya dan Putrajaya terlebih dahulu.
Ujian tersebut dilihat sebagai persediaan untuk memastikan negara ini bersedia apabila tiba masanya untuk menggunakan teknologi tersebut secara besar-besaran, bukan hanya semata-mata untuk sambungan internet mudah-alih yang laju, tetapi juga untuk teknologi lain seperti peranti berhubung (IoT) dan sebagainya.
Terkini, Sinar Harian turut melaporkan bahawa kerajaan negeri Perak akan mula menjalankan ujian 5G mereka sendiri dalam masa empat ke lima bulan lagi, bermula dari kawasan Meru Raya.
Menurut Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Negeri Perak, Hasnul Zulkairnain, ia dijangka bahawa menara-menara 5G bakal dibina dalam jarak 300-500 meter di kawasan tersebut untuk mengurangkan gangguan, dan untuk menguji tahap radiasi gelombang mikro yang dihasilkan oleh menara-menara tersebut untuk memastikan ia tidak memudaratkan rakyat.
Buat masa ini masih tiada butiran lagi mengenai syarikat telekomunikasi yang manakah akan bekerjasama dengan kerajaan Perak untuk memulakan ujian 5G ini.